Tuesday, July 27, 2010

Kampung Cina / Chinatown di Kuala Terengganu

Di pesisir Kuala Terengganu, terdapat sederet rumah kedai yang dikenali sebagai Kampung Cina (China Town) yang telah wujud semenjak sekian lama. Ia merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu yang bermula semenjak awal abad ke 15.

Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah ke Kuala Terengganu pada abad ke-19 mencatatkan, kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.


Kuala Terengganu adalah satu bandar raya perdagangan maritim yang penting pada zaman purba. Rekod awal menyatakan Kuala Terengganu pernah memiliki hubungan perdagangan antarabangsa dengan China. Rekod menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433.

Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara kedua negara. Bagaimanapun, selepas Empayar Melaka menakluk bandar ini, pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot kerana kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.

Sepanjang Chinatown, China telah terintegrasi dengan orang Melayu tempatan. Mereka suka memakai sarung, makan makanan Malaysia dalam gaya Malaysia dan sering bercakap dalam dialek Terengganu khas Malaysia.

Dengan potensi Kampung China sebagai tempat wisata manapun di bandar suapan pembangunan harus selaras dengan struktur yang ada untuk menjaga suasana sejarah Chinatown.

Sumber : Wikipedia

Monday, July 26, 2010

Warung Otak-Otak Che Wan


Kalau anda singgah ke Kemaman , rugi kalau tak pergi ke Warung Otak-otak Che Wan yang paling popular dengan satar atau otak-otaknya . Harganya berpatutan dan makanannya sedap belaka ! Warung nie juga pernah masuk dalam akhbar Kosmo dan selalu artis-artis singgah jika lalu berhampiran Geliga , Kemaman

Otak-otak

Kerepok Goreng 

Mee Calong

Sotong celup tepung

Satar

Sunday, July 25, 2010

Jambatan Gantung

Keistimewaan Mini Zoo ialah ia turut menyediakan jambatan gantung . Ramai pengunjung begitu teruja untuk meniti dan melalui jambatan gantung .



Jika berkunjung ke Zoo Mini Kemaman, jangan lupa untuk mengalami sendiri meniti jambatan gantung. Pengunjung tidak perlu takut atau bimbang, jambatan gantung dibuat dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi, dan buatan yang dijamin keselesaannya. Dari atas jambatan gantung, kita dapat melihat suasana rimba dari atas, hampir dengan puncak pokok-pokok . Ia suatu pemandangan yang menakjubkan !


Saturday, July 24, 2010

Tasik Puteri Bukit Besi

Mendengar namnya sahaja pasti membuatkan orang mengetahui tempat ini kaya dengan hasil besinya. Namun ia hanya tinggal sejarah kini. Lombong bijih besi telah lama ditutup namun tinggalanya membuatkan Bukit Besi suatu tempat yang kaya dengan nilai sejarah. Bukit Besi terletak kira-kira satu jam perjalanan dari arah Bandar Dungun. Jika pengunjung datang dari Bandar Dungun, untuk sampai ke Bukit Besi, pengunjung haruslah menghala ke arah Kuala Terengganu. Terdapat satu simpang kiri menghala ke Bukit Besi iaitu dengan jarak 32km.


Menarik tentang Bukit Besi tentunya tinggalan sejarahnya di mana di sini terdapat banyak bangunan lama tepat pemprosesan bijih besi yang cukup menarik untuk dilawati. Berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi hutan, struktur bangunan lama ini kelihatan begitu cantik dan unik. Selain daripada itu, yang terkenal di sini tentunya keindahan Tasik Puteri.


Airnya yang kebiru-biruan sesalju mata yang memandang. Adakalanya angin yang bertiup damai membuatkan hati bertambah teruja akan keindahan Tasik Puteri Bukit Besi. Tasik ini yang terletak dalam Daerah Dungun merupakan sebuah tasik buatan manusia yang dihasilkan daripada peninggalan lombong bijih besi.Tasik ini dahulunya lombong bijih kini bertukar menjadi pusat rekreasi utama bagi penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan. Keluasan tasik ini adalah 131 hektar.

Tasik ini melibatkan kawasan persekitaran kira-kira 5km persegi, bersempadan Kampung Dikinson di sebelah utara, terletak kira-kira 3 km dari bandar Bukit Besi bila menghala ke Kuantan melalui jalan Jerangau – Jabor. Di tebing sebelah barat tasik ini terdampar indah menghijau sebuah kawasan padang golf iaitu Tasik Puteri Golf Club. Pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bertanggungjawab memajukan tasik ini untuk tujuan perlancongan yang terkenal.

Tasik Puteri Bukit Besi terletak kira- kira 100 kilometer dari Kuala Terengganu dan 200 kilometer dari Kuantan menggunakan jalan Jerangau – Jabor. Pelancong boleh memandu sendiri ke Tasik Puteri melalui Jalan Jerangau Jabor .Dari Kuala Terengganu menggunakan Jalan Jerangau Jabor- Kuantan sebelum masuk ke persimpangan kanan ke Bandar Bukit Besi.Tasik ini terletak dipinggir lebuh raya Jerangau Jabor –Kuantan.Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke tempat rekreasi ini.

 Malahan pelbagai projek telah direncanakan pihak kerajaan bagi terus membangunkan Bukit Besi antaranya ialah dengan pelan pembinaan institusi pengajian tinggi di kawasan ini. Kerajaan berhasrat untuk mendirikan Universiti Teknologi Mara (UITM) kampus cawangan Bukit Besi. Bukit Besi sekarang sudah banyak berubah di bawah pentadbiran LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH(KETENGAH). Malah Bukit Besi kini dipanggil Bandar Bukit Besi.Dengan pentadbiran Ketengah dan sokongan yang berterusan dari pihak kerajaan untuk terus membangunkan Bukit Besi.


Walaupun,perlombongan sudah ditutup namun pihak KETENGAH mengambil inisiatif iaitu membuat satu GALERI yang mempamerkan hasil peninggalan perlombongan bijih besi.Antara bahan yang dipamerkan adalah maklumat,sejarah,peta,carta,foto,contoh penemuan batu dan perlatan menguji kandunagn bijih besi.Untuk keterangan lanjut mengenai galeri ini boleh dihubungi melalui:

GALERI SEJARAH BUKIT BESI,
PEJABAT KETENGAH,
BANDAR BUKIT BESI,DUNGUN
TERENGGANU DARUL IMAN.
TEL:09-8337217/09-8337219

Friday, July 23, 2010

Pelbagai Spesis Burung yang terdapat di Mini Zoo


Terdapat pelbagai spesies burung yang terdapat di Mini Zoo . Ada burung yang boleh terbang dan ada yang tidak boleh terbang .




Jenis spesis burung yang tidak boleh terbang ialah burung emu, burung kasawari, burung unta, burung ostrich, burung rhea dan burung kiwi . Burung-burung ini di letak di dalam kadang di bawah pokok yang rendang .


Aktiviti Menunggang Gajah ditawarkan Di Mini Zoo Kemaman

Aktiviti menunggang gajah tidak ditawarkan di mana-mana zoo di negara ini . Tapi anda boleh mengalami pengalaman menunggang gajah di mini zoo . Semestinya pengalaman ini menyeronokkan !

Harga Tiket Di Kaunter Gajah:

HARGA GOLONGAN
RM 20 DEWASA
RM 10 KANAK-KANAK





Tuesday, July 20, 2010

Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman Terengganu


Zoo pertama di Terengganu yang mula dibuka kepada orang ramai pada 11 April 2009 adalah hasil gabungan kawasan pameran spesies haiwan, taman rekreasi air, taman tema dan kebun buahbuahan di habitat semula jadi kunang-kunang yang terbesar di Pantai Timur.

Terletak di Kampung Ibok di kawasan seluas 54 hektar, Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman itu yang pertama seumpamanya di negara ini merupakan daya tarikan pelancongan dan pemangkin pembangunan ekonomi terbaru di Terengganu.


Zoo berkenaan bersempadan dengan habitat kunang-kunang yang terkenal di Kampung Yak Yah itu mempamerkan kira-kira 100 spesies haiwan seperti harimau, gajah, burung merak, beruang serta ikan naga atau ‘arapaima gigas’ sepanjang hampir tiga meter.



Selain taman tema air serta taman permainan kanak-kanak yang berkonsepkan rekreasi hutan, tarikan zoo berkenaan ialah laluan kanopi sepanjang 1.2 kilometer merentasi habitat rusa.


Turut disediakan ialah aktiviti menunggang gajah yang tidak ditawarkan di mana-mana zoo di negara ini.

Sebagai pusat rekreasi pula jelasnya, zoo itu mempunyai beberapa taman tema iaitu taman herba, taman pokok hutan, taman tropika, taman buah-buahan, taman orkid, taman bonsai dan taman akuatik.

Waktu Operasi 
- Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang

Harga Tiket Di Kaunter Masuk Utama

HARGA GOLONGAN
RM 10 DEWASA
RM 7 KANAK-KANAK12 THN KE BWH
RM 5 KANAK-KANAK (UNIFORM SEKOLAH)
PERCUMA KANAK-KANAK BWH 5 THN

Pengangkutan

Perkhidmatan Bas Dua laluan

1. Awana Kijal melalui pekan Kijal, Kampung Payoh dan Ibok ke zoo
2. Stesen bas Chukai melalui Centre Point (KCP) ke Telekom dan terus ke zoo.

Bas berkenaan bertolak dua kali sehari iaitu pada pukul 12 tengah hari dan 4 petang.


Peta ke Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman Terengganu


Klik untuk melihat dengan lebih jelas 


Saturday, July 17, 2010

Pantai Teluk Mak Nik / D'Monica Bay


Pantai Teluk Mak Nik atau nama glamournya D'Monica Bay merupakan pantai pertama di Terengganu sekiranya anda memasuki Terengganu melalui pintu selatan Terengganu iaitu Kemaman. Ia mengambil masa lebih kurang 5 minit perjalanan menggunakan kereta dari Pintu Gerbang Sempadan Kemaman - Kuantan


Pantai Teluk Mak Nik adalah antara tempat persinggahan penyu sehingga kini. Namun ianya tidak diwar-warkan secara besar bagi menjaga kesejahteraan hidupan 2 alam ini.. Jika anda ingin melihat penyu bertelur di sini, anda boleh dapatkan khidmat pemandu pelancong kawasan ini bagi melihatnya.. Sebab bukan semua orang tahu akan kewujudan penyu ini..


Di sini juga merupakan tempat yang baik untuk anda berkelah. Dengan keadaan pohon rhu yang rendang di sepanjang pantai ini, ianya pasti seronok bagi anda berlabuh disini sambil ditemani angin sepoi-sepoi bahasa.. Keadaan hampir 10 buah wakaf yang terjaga pasti membuatkan anda mempunyai banyak pilihan utk beraktiviti disini..

Selain berkelah, anda juga berpeluang untuk bermain bola tampar pantai & futsal. Sebanyak 4 buah gelanggang bola tampar pantai dan 2 gelanggang futsal disediakan untuk memenuhi keperluan anda sebagai pengunjung disini..

 Penanaman semula pokok Rhu



Wednesday, July 14, 2010

Memori Bukit Besi

Bukit Besi ialah sebuah bandar kecil dalam daerah Dungun, Terengganu . Bukit Besi dahulunya merupakan tempat perlombongan bijih besi dalam daerah Dungun. Ia telah dilombong oleh syarikat dari Jepun sebelum 1939 lagi. Lombong ini telah ditutup berikutan bijih besi di sini telah habis dilombong oleh syarikat Jepun suatu ketika dahulu.

Syarikat Jepun itu ialah Nippon Mining Company (Nippon Kogyo). Jeneral Jepun tidak dapat mengawal buruh lombong khususnya pelombong Cina. Ketika itu terdapat juga lombong manganese di Gual perio dan Temangan di Kelantan. Pengeluaran bijih besi berjumlah 1962,000 tan pada 1940. Semasa penjajahan Jepun, operasi lombong ini masih berjalan. Ia dipantau oleh seorang perisik Jepun bernama Kosaki Ishigai. Maklumat-maklumat rahsia tentang potensi ekonomi yang diberikan inilah maka Jepun menyerang Tanah Melayu melalui pantai timur Semenanjung Malaysia.

Tinggalan perlombongan bijih besi 

Dahulunya terdapat jajaran landasan keretapi dari Bukit Besi ke Jeti Sura, Dungun untuk membolehkan syarikat Jepun mengangkut bijih besi untuk dieksport. Syarikat mengeksport bijih timah ke Jepun melalui Sura, Kuala Dungun, Terengganu. Pengurusan dan penyelenggaraan landasan kereta api menelan kos yang tinggi kerana curahan hujan yang lebat, banjir semasa musim tengkujuh di Terenganu.


Di Bukit Besi terdapat landasan kereta api untuk mengangkut keluar bijih besi. Inilah keunikan Bukit Besi kerana Terengganu sendiri tidak punya landasan kereta api. Ketika itu Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin. Baginda lebih dikenali sebagai Marhum Haji. Tiga pekerja dari South Manchurian Railway telah dibawa masuk untuk membina landasan kereta api di kawasan lombong bijih timah ini. Ia dikendalikan oleh Genichiro Watanabe.


Pada 1924, perisik Jepun bernama Kosaki Ishigai telah mempunyai tanah di Terengganu. Dia bekerja dengan Nippon Yusen Kaisha di San Francisco dan datang ke Singapura pada 1918. Kemudian menjadi setiausaha kepada pengarah Muzium Perdagangan Jepun

Nak melihat gambar Bukit Besi pada zaman dulu ?


Thursday, July 8, 2010

Kemaman Zaman Dulu

Kereta C6008 pemilik Ibrahim loteri, penerima Pingat Hang Tuah - Mamat bin Taib tahun 1963. Bagunan dalam pagar ialah pasar lama, skrg tapak arkib MARA / stesen bas Chukai.

Kemaman 1979


Kemaman lewat 70an . Gambar diambil semasa perarakan Maulud Nabi

Sumber gambar : Group Kemaman

Tuesday, July 6, 2010

Pelabuhan Kemaman Tumpuan Kapal Mewah

Pelabuhan Kemaman turut tercatat dalam peta pelayaran kapal-kapal pesiaran mewah dunia sebagai destinasi pilihan untuk persinggahan sejak 2005 lagi.

Tarikan baru itu memberi impak kepada pelancongan di Terengganu berikutan kapal yang mampu membawa lebih 2,000 pelancong dari luar negara pada satu-satu masa itu, turut dibawa melawat ke pelbagai destinasi menarik sekitar Kemaman dan Kuala Terengganu.

Lima persinggahan kapal pesiaran mewah telah direkodkan iaitu pada 9 Disember dan 26 Disember 2005 (Kapal Diamond Princess); 12 Disember 2006 (Kapal Sapphire Princess) dan P & O Oriana pada 6 Februari tahun 2008 .


Pada 1 Februari 2009, kapal mewah Arcadia dari Southampton, London berlabuh di Pelabuhan Kemaman dengan membawa 2,566 penumpang.

Pelbagai acara menarik disediakan oleh Bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyambut kehadiran pelancong barat itu termasuk persembahan kebudayaan serta gerai jualan barangan kraf tempatan seperti batik dan ukiran.

Penumpang kapal mewah itu turut dibawa bersiar-siar di sekitar bandar Chukai dengan menaiki bas dan teksi. Kapal mewah yang berlabuh beberapa jam itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Bangkok, Thailand sebelah petang.

Selain Arcadia, tiga persinggahan kapal mewah lagi telah tercatat di Pelabuhan Kemaman sepanjang tahun 2009, termasuk Oriana (P & O Cruises) pada 8 Mac 2009 yang membawa 1,928 penumpang; kapal Rotterdam (Holland America Line) pada 15 Mac 2009 dengan muatan 1,316 penumpang dan kapal Volendam (Holland Amerika Line) (1,432 penumpang) pada 5 April 2009

Kapal Diamond Princess berlabuh di pelabuhan Kemaman

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) Encik Nik Mohd Syahrom Nik Md Hashim, berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Terengganu bersedia menyambut kedatangan pelancong dengan menyediakan kaunter penerangan pelancongan, gerai jualan dan persembahan kebudayaan di dermaga Pelabuhan Kemaman.

Katanya, 1,500 hingga 2,000 pelawat dari kalangan penumpang dan krew kapal yang akan turun melawat dan membeli-belah di sekitar Kemaman, Kuala Terengganu dan Kuantan pada masa-masa berkenaan.

“Bandar Kuala Terengganu juga dijangka dikunjungi seramai 500 hingga 700 pelancong yang akan melawat destinasi pelancongan sekitar Kuala Terengganu menerusi pakej disediakan agensi pelancongan kepada kapal mewah berkenaan.

“Penduduk setempat pula disarankan menerima kehadiran pelancong dengan penuh kemesraan dan keramahan supaya mampu menarik pelancong berkenaan berbelanja di gerai-gerai yang disediakan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pelancong berkenaan dijangka mampu berbelanja antara RM100,000 sehingga RM150,000 dan sekaligus mampu menambah pendapatan serta merancakkan ekonomi penduduk tempatan.

Katanya, kerajaan negeri dan Tourism Malaysia mengambil kesempatan dengan kehadiran kapal pesiaran mewah itu mampu mempromosikan Terengganu dan Malaysia sebagai antara destinasi percutian yang unggul di dunia.

Sunday, July 4, 2010

Rusuhan Natrah


Rusuhan Natrah atau Tragedi Natrah, Rusuhan Maria Hertogh berlaku di Singapura pada 12 Disember 1950. Tragedi bertitik tolak dari keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Rusuhan ini juga terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit. Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter . Kakaknya Wiesje, Corrie. Adiknya Benny dan Karel . Natrah yang sudah diIslamkan telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.

Keputusan ini mengecewakan masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu apabila Natrah akan dimurtadkan. Seramai 18 orang terbunuh/mati syahid dan 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British. Mana-mana warga British di Singapura telah diserang. Bangunan dan kereta berhampiran padang dekat mahkamah telah dibakar. Tumpuan utama ialah Masjid Sultan di Singapura. Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam. ISA telah digunakan dengan sebaik-baknya bagi membendung keganasan merebak.

Orang yang terlibat 

  • Karim Ghani ditahan oleh polis dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. 'Nadra Appeal Committee' ditubuhkan di Singapura. * Ogos 1951 - Sept. 1952 - Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmy, presiden Parti Islam SeMalaya (PAS) ditahan di Pulau Sekijang, Singapura kerana dituduh menjadi dalang dan pembakar semangat rusuhan ini.
  • Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi peguam bela kes Natrah ini di Mahkamah Sivil Singapura.
  • M.A. Majid seorang India Muslim menjadi sumber kewangan untuk perbicaraan.



Sumber : 
  • Fatini Yaacob, majalah Deean Masyarakat September 1989.
  • Haja Maiden 'Tragedi Nadra'
  • Snouk Hugronje ' Bertha Hertogh or Nadra Maarof
  • Kosmo

Natrah (1937-2009) - Cinta - Rusuhan - Air Mata


Gambar pernikahan Natrah dengan Mansor Adabi pada 1 Ogos 1950 . Gambar ini menjadi sebab derita Natrah berpanjangan sebahagian besar hayatnya (petikan dlm Natrah 1937 - 2009 Cinta~Rusuhan~Air Mata oleh Fatini Yaacob) . Kesemua kisah Natrah telah dibukukan . Jika sesiapa nak beli buku nie boleh sms Nazira Ismail no 012-9675202 .

Judul : Natrah - Cinta, Rusuhan, Air Mata
Pengarang : Fatini Yaacob
Penerbit : Penerbit UTM
Genre : Sejarah
Mukasurat : 473 halaman
Harga : RM75.00
Cetakan Pertama : 2010
ISBN : 978983520729

Saturday, July 3, 2010

Kalaulah Natrah Tahu

Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.

PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai 2009, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.

Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.


Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.
Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.

"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.


"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.

"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.

"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.

"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.

Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.

"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.
Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.

"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.

"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.

"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...

"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...

"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.

Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.

"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.

Tragedi Hidup Natrah Bermula di Kemaman

"Ummat Islam sangat pantang kalau agama suci mereka disentuh atau dipermain-mainkan. Bila terkenang kembali kisah Natrah (bekas isteri Mansor Abadi) yang mana ummat Islam Tanah Melayu membuat rapat umum di Singapura dihadiri lebih 2,000 orang, yang mengakibatkan seramai 18 orang mati syahid dan 173 orang cedera parah bagi mempertahankan akidah seorang muslimah.

Kisah Natrah; ia amat menyayat hati....
1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad.Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.


1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.

September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.

12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura

24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura

28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.

28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill


1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad , Siti Aisyah.

2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.


Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian ? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.

12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM. Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh.

Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah

20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.

1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.

20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.

3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam , hidup mewah.

16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.

26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an

Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans

1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.

Natrah tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.

Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyanyian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

9 Julai 2009 – Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Rujukan
Fatini Yaacob, majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 m/s 20.
Maria Hertogh, pulang ke Malaysia pada 1999 berumur 63, untuk sebuah dokumentari TV Belanda De Affare

Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda......