Monday, August 30, 2010

Masjid Kristal di Pulau Wan Man

Masjid Kristal merupakan sebuah masjid yang terletak dalam kawasan pelancongan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Terengganu. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia. Taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.


Masjid Kristal telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama-sama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 8 Februari 2008 jam 6.00 petang.

Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.


Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra  Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.


Masjid ini dibina daripada kaca dan keluli, masjid pintar pertama di Malaysia dan mempunyai keluasan 2,146 meter persegi. Masjid ini boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan prasarana teknologi maklumat dan liputan WiFi yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses internet bagi membaca Al Quran elektronik.

Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.


Saturday, August 28, 2010

Air Terjun Jeram Tanduk


Apabila anda sudah sampai di Bandar Chukai, daerah Kemaman, apa kata anda teruskan lagi perjalanan anda ke Kampung Air Puteh yang terletak kira-kira 32 kilometer jaraknya dari Bandar Chukai. Dengan jarak hanya 10 kilometer daripada Kampung Air Puteh, anda akan bertemu dengan satu lagi destinasi percutian yang tidak kurang menariknya, iaitu Air Terjun Jeram Tanduk.


Air Terjun Jeram Tanduk terletak di Kampung Air Puteh, daerah Kemaman. Air terjun ini merupakan salah satu destinasi pelancongan dan perkelahan yang menarik serta mudah untuk dikunjungi kerana dikatakan amat terkenal dengan keindahan alam semula jadinya yang cantik.

Apa yang menariknya di kawasan Air Terjun Jeram Tanduk Air Puteh ini ialah terdapat banyak jenis jeram yang jarang ditemui di tempat lain. Di antaranya adalah Jeram Sisir, Jeram Kota, Jeram Gajah dan juga Jeram Galang. Anda harus melihat sendiri keunikan yang ada pada setiap jeram-jeram ini.


Kuih Tepung Bunga

Makanan ini dipanggil kuih Tepung Bunga dan merupakan makanan tradisional orang Terengganu . Kuih ini sangat sedap kerana apabila anda memakannya anda akan ingat sampai bila-bila . Kuih ini kebanyakannya hanya dijual pada bulan puasa .


Resepi Kuih Tepung Bunga

Bahan-bahan:

500 gram tepung pulut
3 biji telur ayam
2 cawan air
Gula secukupnya
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Cara Membuat:

- Bancuh tepung pulut dengan air hingga membentuk doh. Bentukkan doh sebesar guli dan leperkan .
- Panaskan minyak dalam kuali. Pecahkan telur dalam bekas dan pukul rata.
- Celupkan adunan tepung tadi dalam bancuhan telur dan goreng sehingga kekuningan. Angkat dan letakkan di atas tisu untuk menyerap minyak.
- Aturkan dalam pinggan dan taburkan gula secukupnya.

Kapal Mewah Volendam berlabuh pada 5 April 2009

Setiap kali kapal persiaran mewah singgah di Pelabuhan Kemaman, ia pasti memberi impak positif kepada ekonomi  negeri  dan peniaga yang mampu pendapatan antara RM100,000 hingga RM150,000 hasil perbelanjaan pelawat.


Penumpang kapal mewah Volendam keluar dari kapal untuk melawat bandar Chukai, Kemaman ketika kapal itu berlabuh di Pelabuhan Kemaman.

Pelabuhan Kemaman sebelum ini pernah menerima kedatangan Diamond Princess, Sapphire Princess,  Arcadia, P & O Oriana dan  Rotterdam dengan membawa  antara  1,500 hingga 2,500 penumpang dan krew.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB Ir Rosli Othman, berkata persinggahan kapal persiaran mewah nyata memberi impak positif kepada peniaga dan ekonomi negeri selain mampu memperkenalkan adat resam dan keindahaan Terengganu kepada pelancong dari serata dunia.  

 “Oleh itu, penduduk terutama peniaga perlu mengambil peluang mempromosi produk masing-masing dengan harga berpatutan, memberi layanan mesra dan  bijak berkomunikasi,” katanya pada sidang media selepas melawat dan meraikan kedatangan Volendam di pelabuhan itu .


Penumpang kapal mewah Volendam mendapatkan penerangan mengenai tempat menarik di Terengganu ketika kapal itu berlabuh di Pelabuhan Kemaman.

Kapal sembilan tingkat itu membawa kira-kira 2,000 penumpang  dan krew. Sebaik tiba mereka akan dibawa menaiki bas dan teksi  untuk membeli belah, beriadah dan melawat beberapa tempat menarik di sekitar Kemaman.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Terengganu membuka gerai jualan dan mempersembahkan tarian kebudayaan  bagi memperkenalkan adat dan budaya Terengganu kepada pelancong luar negara.

Yb Ir Rosli berkata, selain peniaga,  penduduk setempat disarankan menerima kehadiran penumpang itu dengan penuh kemesraan dan keramahan supaya mampu menarik lebih ramai pelancong ke negari ini.

Friday, August 27, 2010

Istana Maziah

Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran dengan Bukit Puteri, kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.


Dibina dengan senibina Perancis, Istana DiRaja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi DiRaja atau majlis keraian rasmi negeri.

Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac, 1870.



Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat), dan Dato’ Mata-Mata.

Bekalan kayu untuk membina istana datang dari Dungun dan diselia oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Bekalan batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.
Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu.


Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979). Tambahan turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.

Wednesday, August 25, 2010

Mesra Mall Kerteh


Mesra Mall dibangunkan oleh KLCC (Holdings) Sdn Bhd dan diurus oleh Suria KLCC Sdn Bhd . Mesra Mall telah dirasmikan pada 10 Oktober 2008 .


Ada Pasaraya TMC , TGV Cinemas , U-BOWL , Starbucks , Secret Recipe , Giordano , Tomei , Body Shop , Toys R Us , City Chain , Guess Accessories , Felisa Cosmetics , Carlo Rino , Anakku , Roti Boy , Burger King , Reject Shop , Bata , Various Photo and handphone shops dan Health Spa





Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web ini 

Peta ke Mesra Mall



Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web ini 

Friday, August 20, 2010

Puteri Rantau Abang kembali mendarat selepas 32 tahun menghilang


DUNGUN 12 Ogos 2010 - Puteri Rantau Abang, penyu belimbing yang dilepaskan ke laut 32 tahun lalu di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan, dikesan kembali buat pertama kalinya ke pantai di sini untuk bertelur baru-baru ini.

Kemunculannya memberi harapan baru terhadap masa depan spesies itu yang dikatakan gelap sekali gus membantu menyambung kajian mengenai migrasi yang pernah dilakukan 20 tahun lalu.

Petang semalam, di pantai yang sama, ia dilepaskan semula ke laut setelah dipasang peralatan peranti satelit dengan teknologi terkini.

Usaha Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang itu bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.

Ia dilepaskan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd. Adib.

Pelancong dan penduduk tempatan yang teruja dengan usaha dilakukan, tidak melepaskan peluang menyaksikan upacara itu.

Penyu belimbing itu yang ditetaskan pada 1978 dan dipasangkan tanda pengenalan oleh Jabatan Perikanan kini mencapai ukuran 1.51 meter lebar, 1.16 meter panjang dan seberat hampir 500 kilogram.

Ia mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur pada 15 Julai lalu, disusuli pada 26 Julai dan 6 Ogos lalu sebelum 'disimpan' buat sementara dalam tangki bagi tujuan pemasangan peralatan satelit.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahamad Sabki memberitahu, peranti satelit Platform Transmitter Terminal yang dibeli dari New Zealand mempunyai jangka hayat bateri selama lebih setahun.

"Pergerakan penyu itu sekiranya ia terus selamat akan dapat dikesan oleh Satelit Argos yang berpengkalan di Perancis.

''Banyak maklumat saintifik yang akan diperoleh seperti sejauh mana Puteri Rantau Abang berenang meninggalkan pantai Rantau Abang setelah bertelur," ujarnya.

Katanya, maklumat mengenai lokasi kawasan pemakanannya juga amat mustahak untuk masyarakat antarabangsa bersama-sama meningkatkan aktiviti melindunginya.

Menurut Ahamad Sabki, pihaknya juga turut mengharapkan publisiti meluas mengenai kajian sebegini agar dapat meningkatkan lagi kesedaran umum dan mereka akan bersama-sama jabatan melindungi dan memulihara spesies itu dan penyu-penyu lain .

Sementara itu, Zaa'bar memberitahu, pada musim pendaratan tahun ini sehingga semalam, tiga ibu penyu belimbing telah mendarat di pantai Rantau Abang dengan hampir 500 biji telur.

''Telur-telur ini akan dieram di pusat penetasan Rantau Abang dan kemudiannya dilepaskan ke laut," ujarnya.

Beliau berharap perkembangan terbaru ini benar-benar dapat membuktikan penyu belimbing akan terus kembali setelah beberapa dekad dilepaskan ke laut.

- UTUSAN



Gambar - Mohd Fahmi Uzip (Maq Mie)

Setelah lebih kurang 15 tahun penyu belimbing (Leatherback Sea Turtle) tidak mendarat di Rantau Abang, kini ia muncul kembali.. Setakat ini 4 pendaratan telah disedari, di Kuala Abang (1), Jambu Bongkok (1) dan Rantau Abang (2). Moga-moga dengan sekembalinya penyu belimbing, Rantau Abang kembali ceria.. InsyaAllah.

Thursday, August 19, 2010

Kapal P&O Oriana Bawa Hampir 2,000 Pelancong Asing

Destinasi persinggahan kapal mewah `PO Oriana’ yang membawa 1,800 pelancong bersama 800 krew yang sedang mengelilingi dunia, selamat berlabuh di Pelabuhan Kemaman, pagi 6 Februari 2008


Sebelum ini, kapal mewah `Diamond Princess dan Sapphire Princess’singgah di Pelabuhan Kemaman pada 2006 dan 2007 yang membawa sehingga 3,000 pelancong asing.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata kedatangan pelancong dari negara United Kingdom, Australia, Jerman dan Perancis memberi impak yang besar kepada industri pelancongan negeri khususnya dalam menjayakan tahun Melawat Terengganu 2008.


Malah, ada antara mereka dibawa secara berasingan dengan menaiki bas ke destinasi menarik di sekitar Chukai dan ke pusat bandar Kuala Terengganu.

Kedatangan pelancong asing berkenaan turut menyemarakkan kehadiran pengunjung di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu apabila mereka turut berpeluang menjejakkan kaki ke pulau yang menjadi ikon dan kebanggaan rakyat Terengganu.

Menurut Dato’ Nasir, pelancong asing terbabit memberi gambaran yang positif mengenai TTI dan lokasi menarik lain yang dikunjungi mereka.

Penumpang kapal P&O Oriana mengambil kesempatan membeli belah ketika kapal itu singgah berlabuh di Pelabuhan Kemaman.

“Semua pengunjung asing berkenaan disambut dengan mesra dan meriah. Malah, turut diraikan dengan persembahan kebudayaan negeri Terengganu. “Kewujudan bazar-bazar perniagaan menjual produk Terengganu juga memberi sumber pendapatan kepada pengusaha dan peniaga di sini,” kata beliau sejurus dibawa melawat lebih sejam di dalam kapal bersama rombongan termasuk ketua jabatan dan media sempena persinggahan pertama kali kapal itu ke Terengganu.

Dato' Mohd Nasir menyampaikan cenderamata kepada Kapten kapal P&O Oriana, Charlie Carr ketika melawat kapal itu di Pelabuhan Kemaman.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri menjangkakan pendapatan yang akan diperolehi daripada persinggahan kapal mewah `P&O Oriana’ dalam masa satu hari mampu menjangkau sehingga RM100,000 hingga RM200,000.

Kapal mewah yang berpangkalan di Southampton, England seberat 69,153 tan, 265 meter panjang, 32.3 meter lebar serta 914 kabin penginapan itu memulakan perkhidmatan pada April 1995 dengan mensasarkan pelancong British.

Tuesday, August 17, 2010

Telaga Simpul


Hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit dari bandar Kemaman dan berhampiran dengan Pantai Marina . Telaga Simpul di Kemaman sememangnya terkenal dengan sejarahnya tidak kurang juga kaya dengan cerita-cerita mistiknya. Tempat ini menjadi persinggahan bagi pelayar dan pedagang untuk berhenti rehat. Menurut cerita orang- orang tua dahulu pula, tempat ini dikatakan menjadi ‘kediaman’ bagi makhluk halus.


Dahulu telaga ini hanya berdindingkan tanah, namun kini batu-bata mengelilingi telaga itu agar ia kelihatan lebih bersih dan memudahkan pengunjung mengunjunginya.

Kisah asal usul Telaga Simpul pastinya dapat dibaca apabila anda mengunjungi kawasan tersebut memandangkan terdapat sebuah batu yang menceritakan tentang kisah di sebalik wujudnya telaga itu. Menurut cerita yang dimaklumkan, Telaga Simpul wujud akibat aliran mata air yang mengalir dari atas Bukit Pejajat dan mula bertakung di kaki bukit itu sehingga menjadi seperti sebuah kolam. Airnya yang dikatakan tidak kering, jernih dan segar sehingga kini menyebabkan ia dipanggil telaga.


Menurut cerita penduduk, telaga ini sering dikunjungi oleh penduduk tempatan untuk minum, basuhan serta mandi-manda selain menjadi tempat persinggahan pelayar-pelayar mengisi bekalan air untuk belayar. Catatan awal mendapati telaga ini dipercayai dibina oleh Abdullah Munshi ketika beliau belayar ke Kelantan, Pahang dan Terengganu namun sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan beliau yang membinanya.

Namun jika dilihat daripada catatan buku Abdullah Munshi dalam buku yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan, ada menyebut semasa pelayaran balik dari Kelantan, beliau singgah ke satu tempat di Kemaman iaitu sebuah tempat yang dinamakan Telaga Simpul untuk mengambil air minuman dan mandi-manda.


Dalam catatan tersebut menceritakan ketika berada di telaga itu, beliau dan awak-awaknya mandi di telaga berkenaan. Namun selepas mandi, beliau menyuruh awak-awaknya mengambil sehelai daun mengkuang setiap orang yang tumbuh di sekitar kawasan telaga berkenaan. Beliau mengarahkan awak-awak menyimpul daun tersebut dan meletakkannya berhampiran telaga itu bagi mengelakkan mereka ditimpa bencana jika tidak berbuat demikian. Menurutnya, ia perlu dilakukan kerana menjadi adat dan pantang-larang penduduk tempatan sejak dahulu lagi.

Begitulah cerita sebuah telaga yang kini hanya menjadi tinggalan sejarah di Daerah Kemaman. Jika anda mengunjungi telaga tersebut , pastinya memberikan satu kelainan apabila dapat melihat tinggalan sejarah mistik itu.

Pelabuhan Kemaman Jadi Destinasi Persinggahan 3,000 Penumpang Kapal Diamond Princess

Pelabuhan Kemaman bakal menjadi destinasi pelancongan terulung di rantau ini, apabila dimajukan sebagai antara destinasi persinggahan kapal bertaraf lima bintang bermula tahun depan.

Kelmarin, (9 Disember), Kapal Diamond Princess yang mampu menampung sehingga 3,000 penumpang dari kalangan kakitangan kapal dan pelancong seluruh dunia singgah di Pelabuhan Kemaman yang menjadi satu daripada destinasi percutian sepanjang tiga minggu selepas Beijing, Bangkok, sebelum meneruskan pelayaran ke Singapura.

Seramai 1,800 pelancong dari 32 negara seluruh dunia itu sampai di Pelabuhan Kemaman kira-kira jam 7 pagi, sebelum sebahagian mereka mengikuti aktiviti melawat ke sekitar Kemaman dan Kuala Terengganu dan dijangka belayar ke Singapura, pada jam 6 petang, hari yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pelabuhan Kemaman, Kapal Diamond Princess singgah buat pertama kali ke Terengganu sejak lima tahun lalu.

Katanya, faktor kedalaman air di pelabuhan kemaman sehingga 18 meter mampu menampung kehadiran kapal besar sehingga 160,000 tan metrik berat dek, selain sistem keselamatan dan spesifikasi pelabuhan yang terjamin.

“Banyak manfaat yang diperolehi penduduk dengan kehadiran kapal bertaraf lima bintang itu kerana mereka dapat memperkenalkan produk yang dihasilkan sekali gus meningkatkan sumber ekonomi mereka,” katanya yang turut berjanji akan meningkatkan kemudahan prasarana seperti tandas, kedai makan dan kedai bebas cukai bagi menggalakkan lagi pembangunan pelancongan di kawasan itu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Dato’ Mohd nasir Ibrahim Fikri dan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainudin.